Petronas lantik NJS di bawah VDP
Wartawan Sinar Harian
Norliza bertukar dokumen dengan Abdillah sambil diperhatikan Awang Tengah (tengah)
PETROLIAM Nasional Bhd (Petronas) melantik syarikat Sarawak, North Java Sea Group Sdn Bhd (NJS) di bawah Program Pembangunan Vendor (VDP) kendalian syarikat minyak negara itu.
Petronas dalam satu kenyataan memaklumkan, NJS yang merupakan syarikat perusahaan kecil dan sederhana dalam industri minyak dan gas akan menghasilkan dan menyediakan peralatan berasaskan tali untuk kemudahan luar pesisir milik Petronas di Sarawak.
"Pelantikan NJS di bawah VDP menandakan usaha berterusan Petronas untuk membangungkan PKS berkaitan minyak dan gas di negeri tempat Petronas beroperasi," menurut Pengurus Besar Kanan Kumpulan Pengurusan Rantaian Bekalan Petronas Norliza M Nawi.
Menurut beliau, VDP akan membantu PKS tempatan untuk menaikkan keupayaan mereka melalui panduan dan standard yang ditetapkan Petronas bagi memenuhi keperluan industri untuk produk dan perkhidmatan bersesuaian di negeri seperti Sarawak yang memiliki industri minyak dan gas.
"Peluang ini juga membantu PKS untuk mengukuhkan dan mengembangkan perniagaan mereka," katanya selepas majlis menandatangani pelantikan NJS di Bintulu, Sarawak yang turut disaksikan oleh Menteri Pembangunan Industri Sarawak Datuk Amar Awang Tengah Ali Hassan.
NJS diwakili Pengarah Urusannya Abdillah Yasin.
Di bawah VDP, NJS akan menghasilkan tangga tali kecemasan, tangga juruterbang dan bakul pemindahan pekerja yang pada masa ini dibekalkan dari luar negara.
Alatan penyelamat ini digunakan di platform dan kapal marin bagi memastikan keselamatan kakitangan semasa pemindahan mereka daripada kapal laut atau helikopter ke platform dan sebaliknya.
Ditubuhkan di Miri, NJS pada masa ini satu-satunya syarikat di Malaysia yang mengeluarkan alatan seperti itu.
VDP ialah program Petronas untuk membangunkan vendor Bumiputera berdaya saing dalam industri minyak dan gas.
Pada 2013, sebanyak 1,200 vendor Bumiputera telah menerima kontrak di bawah program itu.